"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, kesemua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukan" al-Isra': 36

Selasa, 9 Mac 2010


MASALAH YANG DIHADAPI KETIKA MENJALANKAN LATIHAN ILMIAH

Nurul Farahin menulis....

Belajar, menulis, mengarang, menghafal... semuanya merupakan asam garam dalam kehidupan seorang pelajar. Bagi yang menduduki semester lima dan enam, selain rutin pembelajaran harian, anda pasti dibelenggu masalah untuk menyiapkan latihan ilmiah.

Latihan ilmiah merupakan suatu kewajipan bagi sebahagian besar pelajar di KUIS untuk meraih diploma. Maka tulisan ini sedikit sebanyak diharap dapat membantu pelajar dalam menghadapi dilema latihan ilmiah yang akan membelenggu sekurang-kurangnya untuk dua semester. Penulis juga salah seorang pelajar yang baru-baru ini berjaya menyiapkan latihan ilmiah dengan jayanya, Alhamdulilah. Oleh itu, penulis sangat berminat untuk berkongsi sedikit permasalahan yang berlaku sepanjang proses menyiapkan latihan ilmiah ini dan juga beberapa cadangan serta tips untuk menyelesaikannya supaya anda yang seterusnya dapat menyiapkan latihan ilmiah dengan sempurna dan jayanya, Insya Allah.

Permasalahan

Permasalahan yang sering berlaku kepada pelajar adalah untuk membuat pengagihan masa bagi menjalankan kajian latihan ilmiah tersebut. Jadual perkuliahan yang padat menjadi salah satu punca kesukaran menjalankan kajian. Manakan hendak belajar, menyiapkan assignment yang diberi pensyarah serta komitmen-komitmen lain lagi dan ditambah pula dengan kerja kajian latihan ilmiah. Nah, di sinilah pelajar harus lebih teliti dan bijak dalam membahagikan masa. Pelajar yang bijak mengatur masa adalah pelajar yang sentiasa peka dengan persekitaran pembelajaran dan tahu hala tuju hidupnya.

Rendah Diri

Selain itu, di antara permasalahan yang sering berlaku adalah kesukaran untuk mendapatkan kerjasama dari pihak luar atau responden bagi tajuk latihan ilmiah tersebut. Bagi pelajar yang menggunakan metode temu bual atau soal selidik sebagai salah satu metode dalam pengumpulan data, kesukaran untuk berjumpa dan membuat temu janji dengan responden tersebut menyukarkan kajian dilakukan. Ini adalah antara kekangan yang sering dikhuatiri oleh pelajar. Ada juga sesetengah pelajar bila sudah dapat kebenaran berjumpa, gelabah pula tidak tentu pasal kerana takut hendak berhadapan dengan responden tersebut. Bagi penulis, situasi ini memang biasa tetapi tepuk dada tanyalah hati untuk meneruskan usaha atau menamatkan riwayatnya sahaja. Kalau azamnya sudah bulat serta ikhlas, apa sahaja rintangan pastilah dapat ditentang dan diselesaikan.

Takhrij Hadis

Pentakhrijan hadis di dalam latihan ilmiah merupakan salah satu perkara penting bagi kita mengetahui kesahihan hadis tersebut. Ada sesetengah pelajar, tidak tahu cara mentakhrij kerana tidak didedahkan oleh pihak pensyarah dengan lebih awal. Apabila didedahkan pentakhrijan berkenaan pada semester yang ke-5, ia sedikit sebanyak akan menggangu pelajar dalam menyiapkan latihan ilmiah kerana pada ketika itu pelajar sudah sibuk dalam proses pembikinan latihan ilmiah. Oleh itu, penulis mencadangkan agar diadakan kursus takhrij hadis lebih awal iaitu pada semester yang ke-4 seiring dengan subjek yang diambil pada ketika itu, iaitu Metodologi Latihan Ilmiah. Kursus ini bukan sahaja khusus untuk membuat latihan ilmiah tetapi juga amat berguna untuk pengetahuan am serta boleh diaplikasikan di dalam kerja assignment.

Terjemahan

Permasalahan lain dalam menjalankan latihan ilmiah ialah kesukaran untuk menterjemahkan sesuatu istilah serta ayat ke dalam bahasa melayu. Pelajar yang menggunakan rujukan dalam bahasa arab atau inggeris akan menterjemah atau mengolah ayat itu ke dalam bahasa melayu bersesuaian dengan bahasa yang digunakan di dalam latihan ilmiah tersebut. Di sini terdapat beberapa masalah bagi pelajar yang tidak mahir dalam penterjemahan. Walaupun begitu, dengan perkembangan teknologi sekarang ini, pelajar dapat menggunakan kemudahan internet yang disediakan dalam laman web tertentu untuk mengatasi masalah ini.

Kurang Bahan

Ingin penulis menambah lagi, kesukaran mendapatkan bahan-bahan untuk kajian juga menjadi kekangan dalam pembikinan latihan ilmiah ini. Ada bahan yang tidak terdapat di dalam perpustakaan kampus sendiri, ada juga bahan yang memang tidak ada dalam mana-mana buku sekalipun. Jadi, di sini para pengkaji harus bekerja lebih kuat lagi dengan mengembara ke perpustakaan-perpustakaan luar selain dari kampus sendiri dan rajin-rajinlah menjelajah ke dalam alam IT.

Penutup

Akhir kata, sebagai penutup dari penulis, masalah-masalah ini dapat diatasi dengan mudah jika anda berfikiran terbuka. Walaupun kesukaran yang paling utama sebenarnya adalah masalah peruntukan kewangan, janji kita ikhlas dan jujur, pasti Allah permudahkan. Selalulah bawa berbincang dengan penyelia anda atau rakan-rakan yang dapat membantu. Sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban dan menyenangkan hati. Terutama sekali dengan penyelia sendiri, keraplah berjumpa supaya prestasi latihan ilmiah anda meningkat baik dari semasa ke semasa. Selamat Berjaya..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, kesemua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukan"al-Isra': 36

Pengomen

Arkib

Latar Belakang

Dokumen Latihan Ilmiah Jabatan Syariah KUIS versi blog ini merupakan versi muktamad yang berhak dirujuk oleh para penyelia dan pelajar. Sebarang kemusykilan boleh dikemukakan kepada penyelia dan penyelaras program.